NAIB Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin nyata berbeza pendirian dengan dua calon jawatan Ketua Pemuda yang lain, Mukhriz Dr. Mahathir dan Dr. Mohamad Khir Toyo mengenai ‘jawatan kabinet’.
Kata Khairy, keputusan sama ada Ketua Pemuda Umno diletakkan di dalam pentadbiran kerajaan adalah mengikut budi bicara Perdana Menteri.
Oleh itu, katanya, tidak timbul soal sama ada seseorang calon yang bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda perlu meletakkan syarat sama ada mahu dilantik atau tidak dalam Kabinet.
Sebelum ini, Dr. Mohmad Khir dan Mukhriz tidak mahu dilantik menganggotai Kabinet bagi memberi tumpuan kepada Pergerakan Pemuda. Kononnya, jika memegang jawatan dalam Kabinet, tidak mampu untuk memperjuangkan nasib Pemuda.
Kata Mukhriz, dia mahu menumpukan usaha memperkukuhkan Pemuda dalam menangani pelbagai isu termasuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno.
Dr. Mohamad Khir pula berkata, jawatan Kabinet akan mewujudkan banyak halangan dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Pemuda.
Menurut Khairy, beliau rasa, ini bukan tempat untuk meletakkan syarat nak dilantik dalam Kabinet dan sebagainya. Itu adalah hak mutlak PM. “InsyaAllah, apabila Datuk Seri Mohd Najib Razak mengambil alih jawatan PM Mac nanti, beliau (Najib) sendiri akan tentukan dan bukan tempat kita mahu tentukan.”
“Lagipun, kita hanya baru jadi calon dan belum tentu jadi Ketua Pemuda lagi. Tak payahlah nak letakkan syarat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan serta sesi dialog dengan penduduk Kampung Sentosa, dekat Paroi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendiriannya jika menang jawatan Ketua Pemuda serta ditawarkan menjadi anggota Kabinet.
Khairy juga berkata, sekiranya PM merasakan perlu khidmat Ketua Pemuda Umno sebagai anggota pentadbiran, dalam apa sekalipun, penyandang jawatan itu perlu menurutnya.
“Kalau PM pada waktu itu rasa mungkin tidak ada tempat untuk Ketua Pemuda, kita kena terima juga. Sekarang bukan tempat kita untuk kata saya nak terima atau tidak,”katanya.
Ketika ditanya sama ada keengganan dua calon Ketua Pemuda itu dilantik ke dalam Kabinet sebagai strategi untuk meraih undi pada pemilihan nanti, Khairy enggan memberi andaian dengan alasan tidak adil untuk mengulas visi serta misi calon lain yang bertanding.
Menurutnya, sepanjang pengalamannya selama lapan tahun dalam barisan kepimpinan Pemuda, beliau tidak pernah berdepan masalah menjalankan tugas dalam Pemuda.
“Isu sama ada Ketua Pemuda perlu memegang jawatan Kabinet sebenarnya bergantung kepada pemimpin itu sendiri berdasarkan cara mana menguruskan masa terbaik.
“Kalau kita nak ‘check and balance’ tetapi berada di luar kerajaan, kita mungkin tak dapat membawa suara Pemuda kepada pentadbiran (kerajaan) dengan baik. Kalau ada dalam pentadbiran, suara Pemuda dapat disampaikan kepada platform paling tepat,”katanya.
Sebelum ini, ada juga yang mentertawakan pendirian Mukhriz dan Mohamad Khir kerana mereka ternyata sibuk-sibuk menolak jawatan Kabinet sedangkan tiada siapa yang menawarkan apa-apa kepada mereka berdua.
Tidak perlu ditolak sebelum ditawarkan tetapi jika ada sesiapa yang menawarkannya, tolaklah. Secara menyindir, ada yang mengatakan kedua-dua calon Ketua Pemuda ini perasan yang mereka sudah disediakan dengan kerusi Kabinet, sedangkan, belum tentulah mereka menang dalam persaingan yang sengit ini.
0 comments:
Post a Comment