Friday, February 6, 2009

Bloggerz bersuara..

ISU hangat senario politik yang berlaku di Perak beberapa hari ini mendapat perhatian penulis-penulis blog malah jika dilihat daripada beberapa direktori blog seperti Voice of Bloggers, Penggabung Suara atau Debat Rakyat setiap minit ada sahaja blog-blog yang dikemas kini.

Perkembangan politik Perak itu mendapat perhatian penulis-penulis blog mapan yang prokerajaan, propembangkang mahupun pemerhati politik. Malahan sesetengah blog peribadi turut menyentuh mengenainya.

Penulis blog Jed Yoong (jedyoong.com) misalnya memberi pandangan bahawa untuk menjadi kerajaan atau ahli politik bukan umpama satu permainan atau kerjaya korporat tetapi tanggungjawab untuk mentadbir negara supaya rakyat makmur, aman dan gembira.

"Lebih 50 tahun selepas merdeka, saya dapati bahawa sikap ahli-ahli politik tidak ada apa bezanya daripada penjudi-penjudi di Genting Highlands. Menjadi calon dilihat sebagai tiket untuk menimbun harta atau tunjuk power (kuasa). Ini lebih kurang macam main roulette di Genting," tulisnya.

Katanya: "Apa pun yang terjadi dah terjadi. Usahlah berdemo ataupun derhaka terhadap titah Sultan Perak. Mari kita renung mengapakah ini terjadi dan cara untuk mengelaknya daripada berulang lagi, jika boleh."

Namun di sebalik perkembangan politik di Perak, banyak juga hal-hal berkaitan peristiwa semasa lain yang ditulis oleh penulis-penulis blog.

Penulis Ahirudin Attan misalnya telah memaparkan satu petisyen oleh penganut agama Kristian yang ditujukan kepada Pope Benedict XVI berhubung penggunaan nama Allah yang dimuatkan dalam blognya rockybru.blogspot.com pada 3 Januari lalu.

Petisyen ini turut dimuatkan dalam blog Jebat Must Die (jebatmustdie.wordpress.com) dan mendapat perhatian beberapa pembaca blognya untuk membahaskan mengenai penggunaan nama Allah tersebut.

Isu tabika Kemas yang dikunci turut mendapat perhatian beberapa penulis blog.

Penulis Syed Imran melalui blognya kudaranggi.blogspot.com kesal isu tabika Kemas telah dipolitikkan sehingga kanak-kanak yang tidak tahu menahu menjadi mangsa.

Tulisnya: "Apakah orang yang mengunci dengan menggunakan rantai motosikal itu tidak mempunyai anak, atau orang yang mengarah perbuatan tersebut tidak mempunyai anak atau adakah mereka tidak berhati perut?

"Mereka sanggup melihat kanak-kanak duduk atas tikar dan terdedah kepada sinaran matahari dan debu-debu yang berterbangan tanpa belas kasihan. Apa dah jadi dengan sifat-sifat kemanusiaan?"

Shadan Othman dalam blognya anakmelakajati.blogspot.com turut menyentuh isu tadika Kemas yang dikunci sehingga menjejaskan peluang anak-anak untuk belajar.

Tulisnya: "Hentikanlah tindakan bermotifkan politik. Jangan jadikan anak-anak cilik yang tidak faham maksud politik dipolitikan. Izinkan mereka menuntut ilmu dalam suasana selesa."

Satu lagi blog yang menarik perhatian ialah hasil penulis bernama Zaini dari Lipis, Pahang. Dalam blognya itu lipis-zaini.blogspot.com, penulis memaparkan kisah-kisah yang berlaku di kampungnya selain catatan peribadi kehidupan sehariannya.

Sebagai contoh dalam pos terbarunya dipaparkan satu kemalangan yang melibatkan sebuah kereta yang terjunam di dalam sebuah longkang.

Walaupun tidak dinyatakan nasib pemandunya tetapi melalui blog itu, kini ramai yang tahu kejadian-kejadian yang berlaku yang tidak dimuatkan di dalam media massa.

Malah seorang pembaca blognya memberi komentar: "Tahniah kerana saudara banyak sekali menulis mengenai keadaan tempatan. Sebenarnya kadang kala jemu juga membaca kisah politik di blog yang banyak di tempat lain.

Oleh itu untuk menghilangkan kebosanan, baik kita bertukar-tukar kisah kampung masing-masing."

0 comments: